Suspek kes samun dan rogol ditahan semula

Susulan berita suspek kes samun dan rogol di Klang yang berjaya meloloskan diri dari tahanan polis di Klang.


KUALA LUMPUR: Seorang suspek kes samun dan rogol ditahan semula tidak sampai 24 jam setelah melarikan diri daripada tahanan polis kira-kira jam 3 petang semalam..

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Yusoff Mamat berkata suspek lelaki warga Indonesia itu ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi di Kampung Baru, Hicom, Shah Alam.

"Dalam keadaan tidak berpakaian suspek ke sebuah rumah kongsi di kawasan pembinaan di Sungai Indah bagi mendapatkan pakaian dan memotong garinya,

"Selepas itu suspek melarikan diri ke pekan Kapar di mana dia meminta bantuan seorang lelaki untuk menghantarnya ke Kg Baru Hicom dengan bayaran RM60," katanya ketika dihubungi.

Polis kini menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada penjagaan yang sah.

Dalam kejadian petang semalam suspek berpura-pura ke tandas untuk membuang air, namun kemudian menanggalkan jeriji besi pada tingkap dengan mengikat seluar yang dipakainya pada jeriji sebelum melarikan diri dari tandas pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Klang Utara, dekat sini.

Suspek didakwa merogol seorang wanita berusia 34 tahun ketika dia dan dua lagi rakannya memecah masuk rumah mangsa di Kampung Rantau Panjang pada 7 Jun lalu.

Ketika kejadian, suami mangsa sedang tidur di ruang tamu bersama anak lelaki pasangan itu yang berusia 4 tahun.

Sumber : Abdul Hakim Rahman, Astro Awani | Jun 20, 2017
Dikuasakan oleh Blogger.